Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Kenapa Pelanggan Tidak Suka Kepada Penjual ?

Saya sendiri merupakan pelanggan kepada produk atau perkhidmatan tertentu yang ditawarkan oleh jurujual. Selama saya berurusan dengan penjual atau digelar perunding sebagaimana yang dinyatakan oleh jurujual terutama perkhidmatan yang perlu dibayar secara bulanan sehingga tamat tempoh,kebanyakannya tidak memberi perkhidmatan yang memuaskan.

Terus terang saya katakan , mereka ini boleh memberi perkhidmatan diperingkat awal sahaja tetapi selepas berjaya mendapatkan jualan, mereka gagal mengurus pelanggan mereka dengan baik. Langsung tiada “follow up” atau tiada sebarang perkhabaran atau nasihat berterusan dari mereka. Sedangkan bayaran yang dikenakan adalah bersifat bayaran bulanan atau tahunan. Ia bukannya bayaran sekali sahaja. Itu adalah sebahagian contoh situasi saya pernah berurusan dengan penjual. Walaupun saya pernah menyuarakan isu ini kepada perunding yang menawarkan perkhidmatan, tetapi sikap begini masih diamalkan.

Baiklah, saya tidak mahu berceloteh panjang, disini saya senaraikan apakah sebab sebabnya pelanggan tidak suka kepada penjual. Antara sebab-sebabnya ialah :

Penjual Terlalu Banyak Bercakap

Kebanyakan penjual kena petah bercakap terutamanya dalam mempromosikan produk mereka. Yang menjadi masalah apabila penjual terlalu banyak bercakap sehingga pelanggan tidak berpeluang untuk menyuarakan pandangan mereka. Kegagalan pihak penjual memberi ruang kepada pelanggan untuk menyuarakan pandangan boleh menjadikan pelanggan meluat atau tidak mahu meneruskan minat terhadap produk walaupun produk itu bagus.

Penjual Suka Mendesak dan Memaksa Pelanggan

Mungkin disebabkan masalah kurang jualan atau mengejar kuota atau mengejar bonus, penjual akan cuba memaksa pelanggan untuk membeli produk. Tona percakapan kadang kadang memaksa pelanggan untuk membeli mungkin menyebabkan pelanggan akan cuba menjauhkan diri dari terserempak dengan penjual penjual begini. Desakan mereka kadangkala menimbulkan ketidakselesaan terhadap pelanggan. Ia boleh menjurus kepada hilang hormat terhadap privasi pelanggan.

Penjual Kurang Ilmu

Disebabkan penjual kurang ilmu dalam memberi penerangan tentang kebaikan produk yang ditawarkan. Kadangkala kebaikan produk tersebut tidak sesuai dengan situasi pelanggan tersebut. Selain dari itu, persoalan yang diutarakan oleh pelanggan mungkin gagal dijawab oleh pelanggan menyebabkan pelanggan kurang minat untuk menerima tawaran tersebut.

Kurang “Follow Up”

Ini satu lagi penyakit dari penjual. Pada peringkat permulaan penjualan mereka akan menawarkan produk yang bagus dan memberi impak kepada pelanggan. Setelah jualan berjaya diperolehi,mereka gagal untuk memberi perkhidmatan selepas jualan. Penjual begini,bagi saya bersepah. Terutama kepada penjual yang bersifat “Part Timer” atau sementara. Sikap “Follow Up” ini amat penting terutamanya kepada penjual atau perunding yang menawarkan produk yang berbentuk berkala seperti Insurans, Takaful atau Saham Amanah.

Kegagalan mengurus pelanggan secara berkala,menyebabkan pelanggan sedia ada mungkin akan memberhenti bayaran bulanan sekiranya tiada perkongsian atau nasihat berkala dari penjual sebegini. Bagi mereka,cukuplah pelanggan membuat bayaran bulanan.

Penjual Gagal Memahami Kehendak atau Masalah Pelanggan

Sikap penjual yang tidak mahu memahami masalah atau kehendak pelanggan menyebabkan jualan gagal diperolehi. Bagi mereka,pelanggan kena faham apa yang cuba disampaikan oleh penjual dan mengharapkan pelanggan memahami apa yang ditawarkan. Malah ada juga penjual yang tidak mahu menerima masalah yang dihadapi oleh pelanggan dan masih meneruskan perbicaraan.

Penjual Sukar Menerima Tidak

Ini satu lagi sikap buruk kebanyakan penjual dimana mereka tidak boleh menerima keputusan pelanggan yang tidak mahu membeli produk mereka. Mereka akan terus memburu pelanggan tersebut sehingga pelanggan itu akur untuk membeli produk mereka. Mereka akan memaksa pelanggan mereka dengan pelbagai taktik sehingga pelanggan tersebut terpaksa membuat belian. Saya sendiri pernah berhadapan situasi begini, dimana penjual akan menawarkan perkhidmatan percuma dan berharap saya ke meja mereka. Apabila sampai ke meja mereka,maka disitulah bermula sandiwara jualan mereka sehingga memaksa saya untuk membeli produk mereka. Pelbagai tawaran diberi sehingga menimbulkan ketidakselesaan saya. Marahpun ada sehingga memaksa saya mengeluarkan wang dari dompet saya untuk mengelakkan desakan dari mereka.

 

Sharing is caring!